Sebelum matahari mula naik, dia menuju ke kampung tersebut. Dengan penuh keazaman dia ke kampung tersebut untuk menggali ilmu pengetahuan, dia tak mahu sampai terlambat. Namun apakan daya, hujan lebat di tengah perjalanan memaksa dia berteduh sementara menunggu hujan berhenti. Sesampainya di sana, pengajian telah pun habis. Dengan perasaan sugul, dia cuba berjumpa dengan ustaz yang memberikan pengajian tersebut untuk bertanya mengenai pengajian tadi.
Ustaz tersebut mempelawa dia bermalam di surau tersebut, dengan syarat jangan persoalkan apa yang disuruh oleh beliau. Oleh kerana hari sudah malam, maka dia hendak solat Isyak dan kemudian tidur. Sebelum tidur, ustaz tersebut berkata, 'Anakku, sebelum tidur jangan lupa khatamkan Al-Quran, memohon syafaat daripada para Nabi, membuat semua Muslimin dan Muslimah senang hati denganmu dan menunaikan ibadah haji serta umrah'. Amalan yang mustahil baginya, dan dia tak dapat melelapkan matanya, namun sebab mengantuk maka terlelap jugalah dia.
Sebelum azan Subuh berkumandang, ustaz tersebut mengejutkan dia untuk solat Tahajud. Apabila masuk waktu Subuh, maka mereka menunaikan solat. Kebetulan hari itu ialah hari Jumaat dan setiap Muslimin wajib menunaikan solat Jumaat. Namun sejak semalam, dia masih tak dapat sebarang ilmu daripada ustaz tersebut melainkan suruhan ustaz sebelum tidur itu sahaja. Tiba-tiba selepas solat Subuh, ustaz tersebut berkata, 'Anakku, jangan lupa perbanyakkan selawat dan bacalah surah Al-Kahfi hari ini'. Amalan yang lebih senang berbanding semalam. Apabila matahari mula berada di atas kepala, dia dengan ustaz tersebut pergi menuju ke masjid berdekatan. Seusai solat Jumaat, ustaz tersebut mengajak dia untuk kembali ke surau. Di surau, ustaz tersebut menjelaskan kenapa beliau menyuruh dia melakukan semuanya.
'Anakku, rajin-rajinkan diri engkau untuk solat Tahajud, kerana sesungguhnya sesiapa yang mengerjakan solat Tahajud, maka Allah akan memuliakan engkau dengan lima perkara di dunia dan empat perkara di akhirat. Adapun perkara-perkara tersebut ialah
- memelihara kita daripada pelbagai bahaya
- wajah nampak bercahaya
- ramai menaruh simpati terutamanya orang yang soleh
- apa yang keluar dari mulutnya pasti berhikmah selalu
- menjadi seorang yang bijaksana
- bangkit dari kubur dengan wajah bercahaya
- hisabnya dibuat mudah
- bagaikan kilat ketika melintasi sirat
- menerima amalan dengan tangan kanan
'Anakku, perbanyakkan selawat kepada Rasulullah, kerana sesungguhnya di syurga terdapat pokok bernama Haulab (ØÙˆÙ„با), buahnya besar daripada epal, manis daripada madu, putih melebihi susu, dan lembut daripada susu pekat. Allah sediakan hanya kepada orang yang berselawat kepada baginda apabila mendengar nama baginda disebut. Selain itu, sesiapa yang berselawat sebanyak sekali, maka Allah membalasnya dengan sepuluh kali selawat, dan dihapuskan sepuluh kesalahan serta ditinggikan darjah engkau sebanyak sepuluh darjah. Dan amalkan surah Al-Kahfi, kerana sesungguhnya sesiapa yang mengamalkan surah tersebut, nescaya Allah akan menyelamatkan engkau daripada Al Masih Ad-Dajjal dan fitnahnya. Selain itu juga, sesiapa yang mengamalkan surah Al-Kahfi di malam Jumaat seperti semalam yang engkau amalkan, insyaAllah Allah akan mengampunkan dosa-dosa engkau hingga ke Jumaat hadapan. Maka amalkanlah'




